Kenali AJK SSR

Monday, January 11, 2010

Dengan keputusan yang diterima pada 16.11.2009 itu, maka secara rasmi SSR telah dipilih untuk mewakili Daerah Muar di dalam Pertandingan Surau Cemerlang Peringkat Negeri Johor 1430H/2009. Keadaan begitu terdesak untuk membuat persiapan pertandingan di peringkat negeri, kerana SSR diberitahu bahawa panel penilai akan membuat penilaian pada 18.11.2009 (2 HARI SAHAJA DARI TARIKH PERTANDINGAN).

Namun begitu AJK SSR tetap terus memperlengkapkan lagi segala yang perlu, khasnya bagi dokumen-dokumen tambahan dan Profil SSR yang lebih mantap untuk dibentangkan.

Pada 18.11.2009 TEPAT jam 10.30 pagi rombongan ahli Panel Penilai Surau Cemerlang Peringkat Negeri Johor yang diketuai oleh Tn.Hj.Borhanuddin bin Tibek KKP Pengurusan Masjid/Surau Jabatan Agama Johor telah hadir bersama ahli-ahlinya.


Ahli-ahli kariah SSR menunggu kedatangan pelawat dengan sabar.


Tn.Hj.Saim (berbaju coklat) sedang disambut oleh Tn.Hj.Hasan Adli SU SSR. Di belakangnya ialah Tn.Hj.Amat Othman



Menyambut kedatangan para pelawat ke SSR.

Mereka seramai 20 orang adalah pegawai-pegawai daripada Jabatan Agama Johor dan pegawai-pegawai daripada pelbagai agensi lain; seperti Jabatan Kesihatan, KEMAS Johor, Jabatan Perancang Bandar, USTICT Kota Iskandar.

Kehadiran rombongan Panel Penilai tersebut telah disambut oleh AJK dan ahli kariah SSR bersama-sama Tn.Hj.Saim bin Abu Yamin, Pegawai Penyelaras Masjid dan Surau Daerah Muar dan Ledang dan Tn.Hj Amat Othman bin Hussin, Penggerak Masjid/Surau DUN Sg. Balang Muar.

Setibanya rombongan Panel Penilai, sebahagian daripadanya terus melawat kawasan persekitaran SSR bagi menilai tahap kebersihan dan keceriaan serta keselamatan SSR. Kawasan-kawasan yang dinilai ialah:-


Bilik air dan tandas, bangunan-bangunan, bilik/stor, taman herba, kawasan landskap,pasu-pasu bunga, pagar dan keseluruhan persekitaran; bagi mempastikan keseluruhan kawasan adalah bersih dan tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk atau serangga.

Setelah selesai melawat kawasan, semua ahli rombongan, AJK dan kariah SSR serta para jemputan mengambil tempat di dalam surau bagi majlis seterusnya. Majlis dimulakan dengan bacaan doa. Seterusnya di dalam ucapan alu-aluan, Pengerusi SSR telah membentangkan PROFIL SSR 2009.


Majlis dimulakan dengan bacaan doa.




Antara tetamu dan ahli kariah yang hadir.

Pembentangan Profil SSR tersebut merangkumi aspek-aspek: Sejarah SSR, Bangunan dan Binaan, Tapak dan Lokasi, Jentera Pentadbiran, Pengurusan & Kewangan, Daftar Kariah SSR, Alumni Kariah SSR, Taman Harba, Projek Landskap dan Laporan Aktiviti-Aktiviti Rutin, Berkala dan Developmental bagi setiap Biro SSR.



Pembentangan oleh Pengerusi SSR

Di dalam pembentangan tersebut Pengerusi SSR juga menerangkan tentang kejayaan SSR membangunkan laman webnya sendiri – dengan alamat:
surausilaturrahim.blogspot.com.

Laman wab ini dibangunkan hasil daripada daya usaha dan kreativiti En.Mohd.Faesal Mazian, iaitu ahli kariah SSR. Ketua rombongan Panel Penilai telah membuat ulasan dan ucapan balas dengan memberikan penghargaan kepada semua AJK dan kariah SSR di atas segala daya usaha yang telah dibuat.


Tn.Hj.Borhanuddin selaku Ketua Panel sedang memberi ulasan


Seterusnya Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan semua Pengerusi Biro SSR telah menghadap para Panel Penilai untuk melihat dan meneliti semua fail/dokumen aktiviti dan program masing-masing sebagai ’bukti’ kepada apa yang telah dibentangkan oleh Pengerusi SSR. Daripada maklum balas lisan Ketua Panel dan semua ahli Panel Penilai, mereka sangat berpuas hati dengan apa yang telah dilihat dan dinilai.



Pn.Maznah (berbaju biru) mewakili Biro HELWA sedang menerangkan programnya kepada Panel Penilai.




Tn.Hj.Rahmat, Pengerusi Biro Pembangunan & Ekonomi SSR sedang menerangkan program-programnya kepada Panel Penilai.




Tn Hj Hasan, selaku setiausaha menerangkan sesuatu.

Sebelum rombongan ahli Panel Penilai berangkat pulang AJK dan ahli kariah SSR telah menjamu mereka dengan hidangan istimewa ’Asam Pedas Parit Jawa’ di Balai Serbaguna SSR, sebagai menu utama makan tengah hari. Jamuan berbentuk makan berhidang dan bersila di atas tikar ’rol’ sebagai warisan tradisi bangsa Melayu yang tidak ’lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan’.





Para tetamu dan ahli kariah SSR menjamu selera dengan menu istimewa 'asam pedas Pt Jawa'.



AJK dan ahli kariah SSR telah sempat bergambar bersama mereka di perkarangan SSR sebagai kenang-kenangan yang amat bersejarah bagi SSR .

Terima Kasih semua.

Wednesday, January 6, 2010

Sijil Anugerah JOHAN Surau Cemerlang Daerah Muar 2009.


Pada 22.10.2009 Tn.Hj.Amat Othman bin Hussin Penggerak Masjid/Surau DUN Sg.Balang telah menyerahkan surat dan borang pencalonan bagi Pertandingan Surau Cemerlang Daerah Muar 1430H/2009, untuk diisi bagi SSR mewakili Mukim Parit Jawa di dalam pertandingan itu. Pada 28.10.2009 jam 8.00 malam SSR telah mengadakan Mesyuarat Khas untuk membincangkan dengan detil bagi menentukan tindakan-tindakan yang wajar diambil bagi memenuhi tuntutan pertandingan tersebut. Pada 29.10.2009 jam 10.00 pagi SSR secara rasmi telah menyerahkan borang tersebut kepada Tuan Hj.Amat Othman.


En.Mohd.Nasir (berbaju biru muda) Penghulu Mukim Pt.Jawa bersama Tn.Hasan Adli SU SSR (berbaju kuning) hadir sama dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah 1431H Daerah Muar.


Pada 13.11.2009 jam 11.30 pagi rombongan Panel Penilai Surau Cemerlang Peringkat Daerah Muar yang diketuai oleh As-Sheikh Tn.Hj.Dzulkafli bin Mohamed Pegawai Tadbir Agama Daerah Muar telah hadir ke SSR untuk membuat penilaian bagi pertandingan tersebut. Alhamdulillah pada 16.11.2009 SSR telah menerima surut Keputusan Pertandingan Anugerah Surau Cemerlang Daerah Muar daripada Pejabat Agama Daerah Muar yang menyatakan bahawa SSR terpilih sebagai JOHAN SURAU CEMERLANG PERINGKAT DAERAH MUAR 1430H/2009.



Tn.Hj.Jamian(berbaju biru) sedang menerima Anugerah JOHAN Surau Cemerlang Daerah Muar daripada Tn.Hj.Mohd.Fuad.


Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Tn.Hj.Mohd.Fuad bin Hj.Riduan Pegawai Tadbir Tanah Kanan Daerah Muar (sebagai wakil rasmi kepada Pegawai Daerah Muar) pada 17.12.2009 jam 8.00 malam, sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Daerah Muar 1431H/2009 di Masjid Sultan
Ibrahim Muar.

;;
Related Posts with Thumbnails